Kisah Kegagalan ‘Biggest Loser’

turunkan berat badan

1. “Turunkan berat badan sebanyak 10kg dalam 10 hari! Hanya perlu minum Minuman X!”

2. “Anda perlu belajar dan praktikkan menghadkan pengambilan kalori sambil mengamalkan gaya hidup sihat untuk turunkan berat badan dan mengekalkannya.”

Bandingkan dua pernyataan tentang turunkan berat badan di atas, yang mana satu yang anda rasa orang suka untuk dengar? Dan yang mana satu pula yang orang sepatutnya buat?

Kisah 6 Tahun Selepas Rancangan ‘Biggest Loser’

Terdapat satu kajian yang mengkaji 14 orang peserta rancangan realiti TV ‘Biggest Loser’ mendapati bahawa berat yang diturunkan ketika program tersebut berlansung hampir tidak mungkin untuk dikekalkan, dan yang paling menakutkan ialah pertambahan berat selepas rancangan tersebut berakhir. Rancangan tersebut beransung selama 30 minggu dan melibatkan diet dan latihan fizikal yang dramatik.

Purata berat badan kesemua perserta sewaktu di awal rancangan ialah 149 kg, dan purata berat badan di akhir rancangan ialah 91 kg. 6 tahun kemudian selepas rancangan tersebut berakhir, purata berat badan mereka ialah 131 kg! Hanya seorang perserta yang tidak menunjukkan pertambahan semula berat badan.

Purata peratusan lemak badan (body fat percentage) di awal rancangan ialah 49%, dan di akhir rancangan pula 28%. Tapi selepas 6 tahun purata body fat percentage mereka ialah 45%!

Kajian tersebut juga mendapati bahawa resting metabolic rate atau basal metabolic rate (RMR atau BMR) kesemua peserta jauh lebih rendah berbanding dengan populasi yang dalam julat umur sama dan tidak pernah menurunkan berat badan yang sebegitu besar. Penurunan RMR ini terus kekal bertahun-tahun selepas mereka membuat kemunculan dalam rancangan tersebut.

Purata BMR di awal rancangan ialah 2607 cal, manakala di akhir rancangan 2000 cal. 6 tahun kemudian, purata BMR ialah 1900 cal! Dan anda perlu sedar fakta ini; selepas 6 tahun, mereka tambah semula berat badan dan body fat percentage, tapi dengan RMR/BMR yang lebih rendah berbanding sewaktu awal rancangan!

Kenapa?

Objektif utama rancangan ‘Biggest Loser’ tersebut ialah hiburan, bukan pengekalan berat badan dalam jangka masa panjang. Ianya bukan cara yang baik untuk turunkan berat badan untuk populasi sebenar (baca: kita semua!).

Kesemua peserta telah menghabiskan masa selama sekitar 7 bulan mengikuti program-program nutrisi dan latihan yang bersifat agak dramatik dalam satu persekitaran yang ‘palsu’ atau artificial (mereka semua hidup dalam sesi pergambaran untuk rancangan tersebut selama 7 bulan)!

Ianya hampir tak mungkin untuk mengekalkan persekitaran dan gaya hidup begitu selepas rancangan tersebut berakhir.

BACA: Kenapa Susah Turun Berat?

Perubahan Gaya Hidup dan Konsistensi

Disebabkan atas kesedaran perkara yang disebutkan di atas, anda seharusnya tidak terpedaya dengan pengurangan berat badan yang dramatik dan radikal!

Anda wajib fokus kepada mengubah gaya hidup anda secara berperingkat. Hal ini adalah demikian kerana, tabiat manusia amat sukar untuk diubah, apatah lagi kalau anda dah mengekalkan tabiat-tabiat tidak baik tersebut sepanjang hidup anda selama ini.

BACA: Logikkah Turun Berat Berbelas KG Dalam Waktu Singkat?

Dari makan nasi, tiba-tiba nak makan kentang rebus sahaja? Atau dari biasa makan McDonald’s tiba-tiba tak mahu makan McDonald’s lansung? Dari tak pernah melakukan aktiviti fizikal, tiba-tiba mahu mengikuti program latihan yang memerlukan anda training selama 3-4 jam di gym? Dari suka minum Coke, tiba-tiba tak mahu minum Coke lansung? Dari tak pernah berlari, tiba-tiba mahu lari marathon?

Realitinya dan berdasarkan apa yang kami sentiasa hadapi ialah, ianya cuma boleh berlaku dalam jangkamasa pendek. Hampir tak mungkin untuk berlaku dalam jangkamasa panjang.

Ubah Dengan Perlahan dan Belajar Tentang Diri Sendiri

Belajar mengenai mengawal pengambilan kalori sambil masih makanan kegemaran anda. Ianya bukan tak mungkin! Malah ianya akan membantu anda untuk kekal dalam had kalori untuk jangka masa panjang.

BACA: DIY Kira Kalori & Strategi Pengubahsuaian

Belajar mengenai program latihan yang disesuaikan untuk anda, yang bukan terlalu ‘susah’ sampai rasa tak mahu buat lagi lepas sebulan dua. Progressive overload masih boleh berlaku walaupun training cuma 40-60 minit satu sesi, 3-4 kali seminggu. Mula dengan sekali dua seminggu pun boleh!

Berilah masa kepada diri anda sendiri. Tolonglah beri masa kepada diri anda sendiri. Kerana manusia ini suka dengan halwa telinga yang sedap didengar seperti pernyataan pertama di awal artikel ini. Tetapi, realitinya ialah perkara yang sangat sedap didengar ini biasanya tak benar!

Sama sahaja seperti skim cepat kaya – Gandakan RM50 Anda Menjadi RM 50 000 Dalam Masa Sebulan! Anda percaya ke ianya boleh terjadi dengan mudah begitu?

Nak kami buat plan nutrisi dan plan latihan yang sesuai dengan anda pun boleh.

Tapi ada yuran untuk ilmu yang bakal anda praktikkan untuk jangkamasa panjang lah 🙂

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *