Penyakit koronari arteri, telur dan kolesterol.
Sebelum cerita lebih lanjut tentang telur dan kolesterol, kita perlu faham penyakit yang dikaitkan dahulu iaitu penyakit koronari arteri.
Penyakit arteri koronari (coronary artery disease) merujuk kepada pengumpulan plak pada dinding saluran darah yang membekalkan darah ke jantung itu sendiri. Pengumpulan plak ini menyebabkan saluran darah tersebut akhirnya tersumbat, dan darah tak dapat dibekalkan ke otot jantung. Otot jantung lalu mati dan jantung tidak dapat mengepam darah. Akhirnya, serangan jantung berlaku (myocardial infarction).
Sekitar 1940-an penyakit koronari arteri ialah penyumbang utama kepada kematian di Amerika Syarikat. Kajian – kajian yang dilakukan menemui bahawa ada kaitan antara kandungan lemak tepu dan kolesterol dengan penyakit kardiovaskular (termasuk penyakit arteri koronari).
Kesan daripada itu, cadangan yang sesuai pada ketika itu ialah untuk mengamalkan diet yang rendah lemak dan kolesterol. Lanjutan daripada itu, American Heart Association mengeluarkan satu laporan pada tahun 1961, yang menyarankan semua orang untuk mengamalkan diet rendah lemak dan kolesterol.
Telur dipersalahkan.
Sekitar tahun 1980-an, saranan ini menjadi sangat popular dan ianya jadi buah mulut untuk semua orang yang ingin mengamalkan diet yang sihat. Dan disebabkan itu, banyak orang mengelak dari makan telur, terutamanya kuning telur. kerana ianya tinggi kolesterol.
Sebiji telur (termasuk kuning telur) mengandungi sekitar 185g kolesterol, iaitu lebih 50% dari saranan pengambilan harian (300mg) oleh American Heart Association pada ketika itu. Kalau ikut saranan tersebut, makan dua biji telur sehari pun dah melepasi had pengambilan kolesterol sehari.
Kena faham apa itu kolesterol dulu.
Kolesterol dihasilkan secara semulajadi di dalam badan kita. Ianya dihasilkan di hati. Sebanyak 1000 – 2000mg kolesterol dihasilkan oleh hati setiap hari.
Antara fungsi kolesterol yang penting ialah pengawalan fungsi hormon seperti testosterone dan estrogen, penghasilan vitamin D, dan sebagai salah satu komponen membran dinding sel pada setiap sel dalam badan kita.
Jadi, kolesterol sangat penting. Tapi kalau dah sangat penting, kenapa kolesterol boleh jadi masalah pula?
Sebenarnya ada salah faham tentang terma mengenai kolesterol ini. Kebiasaannya, bila orang bercakap mengenai kolesterol, mereka sebenarnya bercakap mengenai lipoprotein. Disebabkan kolesterol ialah satu bahan larut lemak, ia tidak boleh larut dalam plasma darah, maka ianya secara sendiri tidak boleh ‘diangkut’ dalam darah. Kolesterol memerlukan lipoprotein untuk dibawa di dalam darah.
Lipoprotein VS kolesterol
Ada 4 jenis lipoprotein, tapi dalam artikel ini kita akan bincangkan 2 sahaja iaitu high density lipoprotein (HDL) dan low density lipoprotein (LDL). Anda mungkin dan biasa dengar HDL dan LDL ini sebagai kolesterol ‘baik’ dan kolesterol ‘jahat’.
LDL boleh menembusi lapisan permukaan arteri, maka ianya dikenali sebahagai kolesterol jahat. Apabila ianya telah menembusi lapisan permukaan arteri, LDL akan mendeposit di situ, dan jadi titik mula kepada pembentukan plak.
HDL pula ialah kolesterol ‘baik’. Ia menghalang LDL daripada membentuk deposit di permukaan arteri.
Asid lemak tepu dan asid lemak trans pula apa?
Selain dari HDL dan LDL, asid lemak tepu (saturated fatty acids) dan asid lemak trans (trans-fatty acid) juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan risiko penyakit arteri koronari.
Asid lemak tepu dan asid lemak trans ini menyumbang kepada peningkatan total cholesterol dan LDL.
Biasanya, makanan yang tinggi kolesterol juga tinggi kandungan asid lemak tepu dan asid lemak trans. Justeru, kebanyakan garis panduan nutrisi menyatakan untuk mengehadkan pengambilan kolesterol kepada 300mg sehari. Garis panduan ini dibuat untuk mengelakkan kekeliruan dan ianya lebih praktikal.
Justeru kerisauan yang terjadi ialah disebabkan makanan-makanan yang tinggi kolesterol juga tinggi dalam asid lemak tepu dan trans. Bukan semata-mata sebab kolesterol!
Saranan semasa
Sekiranya anda berada dalam kategori risiko tinggi atau sangat tinggi untuk mendapat penyakit berkaitan jantung, anda disarankan mengehadkan pengambilan kolesterol kepada hanya 200mg sehari.
Sekiranya tidak berada dalam kategori risiko tinggi atau sangat tinggi, anda tiada halangan untuk makan makanan yang tinggi kolesterol atau telur. Namun begitu, seperti dinyatakan dalam bahagian sebelum ini, makanan yang tinggi kolesterol biasanya mempunyai kandungan asid lemak tepu yang tinggi. Jadi anda harus bijak dalam memilih makanan.
Telur mengandungi kolesterol yang tinggi (HDL yang tinggi, dan LDL yang rendah), malah rendah dalam asid lemak tepu dan tiada asid lemak trans! Telur mempunyai sumber protein yang baik. 7g protein dalam sebiji telur , 4g dari putih telur dan bakinya dari kuning telur. 2 biji dah 14g protein. Secara relatifnya, telur ialah sumber protein yang sangat murah.
Berbanding asid lemak trans dan asid lemak tepu, kolesterol dalam makanan (baca: dalam telur) secara bersendirian tidak memberi kesan signifikan kepada paras kolesterol dalam darah dan risiko penyakit berkaitan jantung. Pengambilan 4-7 biji telur seminggu memang dah terbukti tidak ada kaitan dalam meningkatkan risiko penyakit berkaitan jantung (rujuk Clinical Practice Guideline : Primary & Secondary Prevention of Cardiovascular Disease 2017).
Baca: Target Protein dan Tips Untuk Capai Target Tersebut.
Kesimpulan
Sekiranya anda tidak berada dalam kategori risiko tinggi atau sangat tinggi untuk mendapat penyakit kardiovaskular, anda tidak perlu risau untuk makan telur.
Anda boleh kira risiko anda dengan klik DI SINI. Untuk mengira risiko anda, anda perlu tahu paras HDL, total cholesterol (TC), tekanan darah, dan status penyakit diabetes anda.
Dalam situasi PKP akibat wabak COVID-19 ini, telur mungkin sumber protein yang sangat mudah dan murah!
Sekiranya anda ke kedai untuk beli telur, sila praktis jarak sosial yang baik, dan amalkan membasuh tangan anda gunakan cara betul dengan kerap.
Semoga semuanya dimudahkan dan berpengakhiran baik!