Tukar Lemak Jadi Otot?

tukar lemak jadi otot

Anda tak boleh tukar lemak jadi otot! Takkan berlaku sebab lemak dan otot ialah dua benda berbeza yang tak boleh saling diganti antara satu sama lain.

Baca: Turun Berat Berbelas Kilo Dalam Seminggu?

Proses respirasi

Segala tenaga dalam badan dijana oleh proses respirasi. Ya, respirasi ini merujuk kepada pernafasan. Cumanya dalam perspektif saintifiknya, proses bernafas hanya sebahagian daripada proses respirasi secara keseluruhannya.

Dari perspektif biokimia, definisi proses respirasi di peringkat sel ialah proses metabolik untuk menghasilkan tenaga dalam bentuk adenosine triphosphate (ATP) yang boleh melibatkan atau tidak melibatkan oksigen. Dan oksigen datang dari proses respirasi fisiologi, iaitu pernafasan.

Secara ringkasnya proses respirasi di peringkat sel ialah seperti berikut;

Glukosa + Oksigen —-> (tenaga dibebaskan)—-> Karbon dioksida + Air.

Dengan kehadiran glukosa dan oksigen, tenaga akan dibebaskan dan produk akhirnya ialah karbon dioksida dan air yang akan dinyahkan melalui proses pernafasan. Ada proses respirasi lain yang boleh berlaku tanpa kehadiran oksigen, tapi itu perlu dibincangkan di artikel lainlah, atau anda boleh Google ‘anaerobic respiration’.

Yang penting untuk anda tahu, kesemuanya akan hasilkan karbon dioksida dan air sebagai produk akhir.

Situasi Tanpa Gula

Gula disini merujuk kepada glukosa. Paras glukosa dalam darah perlu dikekalkan dalam julat tertentu. Julat ini perlu dikekalkan untuk memastikan proses respirasi boleh berlaku dan tenaga dapat dijana untuk sistem badan kita berfungsi normal.

Baca: Gula Tak Bersalah!

Kesemua makronutrien (karbohidrat, protein dan lemak) boleh ditukarkan jadi glukosa. Namun, sumber utama yang akan digunakan sebagai glukosa ialah karbohidrat kerana ianya ialah laluan paling mudah untuk penghasilan glukosa. Dalam keadaan paras glukosa dalam darah normal, protein dan lemak masih akan ditukarkan jadi glukosa, tetapi pada aras minima.

Dalam keadaan paras gula dalam darah rendah, proses penukaran protein dan lemak menjadi glukosa akan jadi lebih tinggi. Ianya dikenali sebagai gluconeogenesis.

Justeru, kita dapat faham di sini bahawa kesemua makronutrien (karbohidrat, protein, dan lemak) ialah sekumpulan nutrien yang boleh ditukarkan jadi tenaga melalui proses penukaran kepada glukosa.

Otot Terdiri Dari Protein

Otot-otot kita terdiri daripada protein dan ianya boleh digunakan sebagai tenaga.

Dalam keadaan defisit kalori (jumlah kalori yang dimakan kurang dari keperluan badan), paras gula dalam darah akan dikekalkan dalam julat normal dengan bantuan proses gluconeogenesis. Lemak yang disimpan dan protein termasuk dari otot-otot akan ditukarkan sebagai glukosa.

Disebabkan perkara tersebut, otot-otot boleh ‘hilang’ selepas ditukarkan jadi glukosa semasa proses menurunkan berat badan (dalam defisit kalori), selain daripada lemak yang turut terlibat dalam proses gluconeogenesis. Jadi di sini kita boleh faham yang otot dan lemak adalah dua entiti berasingan, ianya takkan saling bertukar peranan.

Training, Diet, Otot dan Lemak

Baca: Jenis Diet Yang Terbaik.

Bila training, kita akan meransang proses hypertrophy otot (pembesaran otot) untuk berlaku. Proses hypertrophy ini ialah proses sintesis protein (berlawanan dengan protein ditukarkan jadi glukosa). Lemak yang tersimpan tidak terlibat secara lansung dalam proses hypertrophy ini.

Sintesis protein memerlukan amino acids (protein dalam bentuk paling kecil). Asid amino ini akan disusun dalam turutan tertentu untuk menjadi protein otot. Bayangkan blok-blok permainan Lego, pelbagai jenis blok diumpamakan sebagai setiap jenis asid amino, dan ianya boleh disusun untuk jadi pelbagai bentuk untuk fungsi-fungsi berlainan.

Jadi, lemak tak boleh bertukar jadi otot. Dan otot pun tak boleh bertukar jadi lemak.

Kesimpulan

Anda hanya boleh bina otot dan bakar lemak. Tapi anda tak boleh tukar lemak jadi otot atau sebaliknya.

Proses bina otot dan bakar lemak boleh berlaku serentak (re-composition), tapi ianya hanya boleh berlaku secara signifikan untuk seseorang yang baru mulai training dengan beban, di mana proses adaptasi otot akan berlaku dengan lebih cepat dari kebiasaan.

Re-composition akan jadi sangat perlahan apabila sudah lebih lama training dengan beban akibat adapatasi otot yang lebih sukar untuk berlaku. Mungkin anda mahu pertimbangkan fasa ‘bulking’ dan ‘cutting’ yang tidak berlaku serentak.

Baca: Kenapa Susah Turun Berat?

Tapi kalau tak ada objektif untuk naik ke pentas untuk bertanding, atau anda tidak ada tekanan untuk kekal dalam kategori berat badan tertentu untuk sesuatu pertandingan powerlifting, apa salahnya kekal dalam berat badan sama tanpa perlu ‘bulking’ dan ‘cutting’ yang ketara.

Kalau nak minimakan kehilangan otot bila turun berat badan, tetapkan matlamat untuk turunkan berat dengan perlahan, sekitar 0.5 – 1% penurunan seminggu. Kalau nak minimumkan pertambahan lemak ketika ‘bulking’, tetapkan matlamat untuk pertambahan berat badan sebanyak 0.5-1.5% sebulan.

Kalau rasa leceh untuk fikir semua benda ni, beritahu kami apa objektif anda dan kami boleh buatkan pelan training dan nutrisi. Nak kami buat pelan nak makan apa seminggu pun boleh!

P.S. : Whey protein bukan untuk tukar lemak jadi otot ya! 😁

P.S.II : Lemak akan dibakar jadi tenaga, dan kemudiannya produk kumuh dinyahkan sebagai karbon dioksida dan air. Peluh bukan lemak keluar dari badan! 😁😁😁

Leave a comment

Your email address will not be published.