Gula Tak Bersalah


“Kalau nak turun berat, jangan makan gula.”

“Saya tak minum air yang ada gula ni, nanti berat naik”

Seringkali gula jadi kambing hitam dalam proses berdiet. Faktanya gula bukanlah baik, tapi ia bukan juga ‘jahat’.

gula-jangan-ditakuti

Kenapa Gula Bersalah?

Diet yang tidak berkualiti biasanya tinggi gula. Makanan yang manis (baca: tinggi gula) juga selalunya bapakkkkk sedap! Dan gula juga tidak mengenyangkan. Maka senanglah kita terlebih makan.

Keadaan ini menyebabkan gula jadi mangsa mudah untuk dipersalahkan. Jadi mangsa keadaan.

Insulin Spike

Insulin spike tak akan boleh mengubah prinsip energy balance. Selagi jumlah kalori terkawal, berat badan tak akan berubah.

Pertambahan lemak hanya boleh berlaku kalau lipogenesis (proses simpan lemak) lebih tinggi dari lipolysis (proses keluarkan lemak dari simpanan).

Baca: DIY Cara buat anggaran kalori.

Insulin spike hanya berlaku sebagai respon selepas anda makan, dikenali sebagai post-prandial period. Ini menyebabkan lipogenesis lebih tinggi dari lipolysis hanya selepas makan. Waktu anda tak makan pula (tidur, puasa, buat kerja dan sebagainya), ianya adalah sebaliknya. Maka dalam 24 jam sehari, jumlah kalori masuk – keluar akan jadi sama sahaja. Ini adalah dengan anggapan anda tak makan lebih kalori dari yang dibakar.

Gula Ialah Karbohidrat

Gula cumalah karbohidrat, sama seperti nasi, mi dan roti. Selain daripada karbohidrat, protein juga akan mengaktifkan respon insulin. Sama seperti karbohidrat!

Anda boleh turun berat dengan makan gula sahaja! Dan memang ada orang yang dah buat pun. Selagi anda mengambil kalori kurang dari keperluan. Tapi dari perspektif kesihatan, gula adalah kalori kosong tanpa nutrien lain seperti protein, lemak, mineral dan vitamin.

Jadi dari perspektif kesihatan, kalau makan gula semata-mata memanglah sangat tak sihat.

Gula dan Diabetes

Masalah cuma timbul kalau ada diabetes kerana dalam keadaan tanpa insulin atau insulin sensitiviti yang rendah, paras gula dalam darah akan jadi tinggi secara konsisten. Paras gula tinggi melebihi normal menyebabkan komplikasi jangka masa panjang dalam pesakit diabetes.

Baca: 5 manfaat utama bila turunkan berat badan.

Jadi pengawalan gula bagi pesakit diabetes adalah penting. Bukan sebab nak turun berat, tapi sebab nak elak paras gula tinggi melebihi normal. Untuk pesakit diabetes, sila ikut saranan doktor anda.

Kesimpulan

Makan coklat Cadbury kadang-kadang tak bagi kesan signifikan kepada diet anda, selagi jumlah kalori terkawal. Tapi kalau makan coklat Cadbury dan bilas pula dengan 2.5L air Coke, lepas tu balun segunung nasi kari kambing bukanlah idea terbaik kalau nak turunkan berat badan.

Bersederhana. Jangan takut dengan gula. Kasihan tuan rumah dah buat air, minum lah.


Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

One thought on “Gula Tak Bersalah