Kami di VI Fitness Seremban percaya bahawa powerlifting antara sukan terbaik di dunia ni! Baca sebab-sebabnya seperti yang disenaraikan di bawah;
Powerlifting antara sukan terbaik di dunia untuk beri target latihan yang jelas
Sukan memberi objektif latihan tertentu kepada individu. Sebagai contoh, seorang atlet pecut 100 meter akan berlatih untuk membuat catatan masa yang lebih baik. Atlet lompat jauh pula akan berlatih untuk membuat lompatan yang lebih jauh. Kami berpendapat powerlifting ialah sukan terbaik di dunia kerana objektif utama latihan sangat ringkas iaitu mengangkat lebih bebanan. Objektif tersebut tidak dipengaruhi oleh persepsi orang yang melihat, sebaliknya ianya diukur dengan unit ukuran yang standard (berat = kilogram/pound/dsb). Maka sewaktu latihan, anda akan mempunyai target latihan yang sangat jelas.
Maklumat tentang teknik latihan, nutrisi adalah sangat mudah didapati!
Anda mempunyai akses terhadap informasi tentang teknik latihan, tips nutrisi dan sebagainya dengan sangat mudah. Powerlifter ni sangat-sangat bermurah hati dan suka berkongsi. Sebut sahaja tentang program latihan powerlifting, nutrisi ketika latihan atau teknik squat, semua maklumat boleh didapati dengan mudah dengan hanya buat carian Google! Bukan sahaja info-info tersebut boleh didapati dengan mudah, malah ianya diberikan oleh atlet-atlet elit dalam sukan powerlifting. Cuba layari The Strength Athlete, Stronger by Science atau EliteFTS!
Atlet-atlet elit sangat mudah didekati
Di dalam sukan powerlifting, banyak atlet-atlet elit akan memberi respon terhadap komen di media social tak mengira siapa pun anda! Mereka ni memang mudah didekati dan bukannya berlagak seperti seorang ‘superhuman’. Anda boleh pergi ke mana-mana powerlifting meet, dan anda boleh bersembang seperti seorang kawan yang dah lama kenal. Mereka nampak seperti kebanyakan orang, cuma lebih kuat dan arif tentang latihan mereka. Antara atlet-atlet sebegini di Malaysia termasuklah Iqbal Ikram, Kern Wen, Kamarul Izzwan dan banyak lagi. Cubalah DM mereka di Instagram dan tanya nasihat!
Suasana di powerlifting meet menaikkan bulu roma!
Berbeza dengan sukan-sukan lain, powerlifting ialah sukan yang budayanya sangat mendorong. Anda boleh lihat dua atlet yang berkongsi platform dan bertanding dalam kategori berat yang sama menjerit memberi sokongan antara satu sama lain! Lebih menarik lagi apabila atlit-atlit ini juga bersorak beri sokongan kepada atlit-atlit yang mengangkat bebanan yang jauh lebih rendah! Suasana di powerlifting meet adalah antara suasana sukan terbaik yang anda boleh rasai. Boleh naik bulu roma bila dengar sorakan yang datang dari semua peserta!
Kesimpulan
Kami belum sebut lagi tentang pengalaman dan perasaan yang anda boleh rasa bila anda memecahkan rekod personal. Ianya adalah antara perasaan terbaik yang anda boleh rasa bila anda buat latihan powerlifting! Kesimpulannya, anda akan dapat merasai pengalaman latihan yang memberi objektif yang benar-benar boleh diukur, akses mudah terhadap pelbagai info-info berguna, semangat kekitaan dalam sukan yang sukar ditandingi dan kenalan atlet elit yang sangat merendah diri.