Ubat Kurus dan Suplemen Untuk Kurus: Berkesan Atau Tidak


Adakah ubat kurus dan suplemen untuk kurus berkesan?

Kebelakangan ini saya banyak terdengar tentang ubat kurus dan juga suplemen untuk kurus. Bukan sahaja ramai yang ingin tahu malah industri ini berkembang sangat pesat, sehingga pelbagai jenis ubat dan suplemen dijual merata-rata, secara online atapun offline,  rata-rata membuat dakwaan betapa berkesannya produk masing-masing. Adakah ia berkesan? Sekiranya ia berkesan, bagaimana ia menimbulkan kesan tersebut? Saya akan cuba kupas mengenai isu-isu ini secara ringkas.

artikel ubat kurus

Sibutramine dan Orlistat

Sebelum anda tahu sama ada ianya berkesan atau tidak, anda harus faham bahawa terdapat perbezaan antara ubat dan suplemen.:

Ubat kurus: Ianya boleh jadi ubat yang memerlukan preskripsi doktor atau ubat yang boleh dibeli di kaunter-kaunter farmasi. Ubat-ubatan, tak kiralah sama ada ubat kurus atau ubat jenis lain, perlu mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum boleh dipreskripsikan oleh doktor atau dijual di kaunter-kaunter farmasi. Ini bermakna, ubat-ubatan telah menjalani ujian klinikal yang sangat ketat dan telah terbukti selamat untuk digunakan dan juga dari segi efficacy. Sila baca mengenai ujian klinikal untuk ubat-ubatan untuk mengetahui betapa sukarnya untuk sesuatu ubat diluluskan untuk preskripsi/dijual di farmasi.

Contoh ubat kurus yang PERNAH diluluskan adalah Sibutramine. Ubat ini telah DITARIK BALIK KELULUSANNYA pada tahun 2010 ekoran terdapat bukti kaitannya dengan peningkatan risiko insiden kardiovaskular dan strok di kalangan pesakit yang mempunyai sejarah penyakit jantung.

Suplemen untuk kurus: Ianya tidak terbukti secara ujian klinikal malah sebahagian suplemen ini tidak mempunyai kelulusan KKM pun. Maka, keselamatan untuk digunakan dan efficacy suplemen-suplemen ini adalah diragui. Ringkasnya, kebanyakan tak selamat, dan sekiranya ianya selamat, ia tidak berkesan.

Bagaimana ubat kurus dan suplemen untuk kurus memberi kesan?

Mengurangkan selera makan: Sibutramine adalah contoh ubat yang mengurangkan selera makan. Apabila selera makan kurang, maka kuranglah makan. Perlu ditegaskan, ubat ini telah ditarik balik kelulusannya kerana ada bukti peningkatan risiko insiden kardiovaskular.

Mengubahsuai penyerapan makanan: Ubat jenis ini menghalang/mengurangkan penyerapan makanan dan pencernaan lemak dalam makanan. Contoh ubat jenis ini adalah Orlistat. Ianya digunakan untuk merawat obesiti, dan ia digunakan untuk rawatan jangka masa panjang (maksima 2 tahun). Orlistat diberikan apabila pesakit obese gagal menurunkan berat badan selepas 6 bulan mengamalkan diet sihat dan melakukan senaman. IANYA MEMERLUKAN PRESKRIPSI DOKTOR. 

Meningkatkan kadar penggunaan tenaga: Ubat jenis ini (contoh:Ephedrine) dikenali sebagai thermogenics. Ianya meningkatkan metabolism atau penggunaan tenaga. Peningkatan metabolisma adalah pada sekitar 100-150 kalori (bersamaan lebih kurang kandungan kalori segelas air yang manis). Banyak lagi jenis ubat yang boleh meningkatkan metabolisma dan memberikan kesan seperti ini, namun tidak diluluskan untuk kegunaan merawat obesiti (termasuklah Ephedrine).  Kebanyakan suplemen pula mendakwa boleh memberikan kesan seperti ini, tetapi akibat ketiadaan ujian klinikal maka hanya anekdot menjadi sandaran.

Kesimpulan

  • Ubat kurus dan suplemen memberikan kesan dengan cara membuatkan anda kurang makan atau menggunakan lebih tenaga. Jadi, jangan ingat bahawa anda boleh makan sesuka hati dan masih lagi dapat mengurangkan berat badan dengan mengambil ubatan/suplemen. Fakta penting yang anda perlu ingat; segala-galanya mengenai pengurusan berat badan adalah mengenai kalori masuk dan kalori keluar. Tiada jalan singkat yang selamat. Sekiranya anda pilih jalan singkat, ada ‘harga’ yang perlu dibayar.
  • Ubat yang mendapat kelulusan KKM adalah selamat untuk digunakan dengan cara-cara tertentu dengan nasihat dan preskripsi doktor. Kebanyakan suplemen untuk kurus adalah tidak berkesan, dan lebih buruk, mungkin membahayakan.
  • Ubat kurus akan lebih berkesan apabila digabungkan dengan mengamalkan gaya hidup sihat.
  • Ubat kurus tidak akan menyelesaikan masalah berat badan; pertambahan berat hampir pasti akan berlaku apabila tidak mengambil ubat tersebut.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *